Ahad, 10 Mei 2009

Raymond Tan Wajar Kekal Dalam Kabinet Sabah, Kata Lajim




KOTA KINABALU, 10 Mei (Bernama) -- Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Raymond Tan, yang menyertai parti Gerakan Selasa lepas, wajar diberi peluang untuk terus menganggotai kabinet negeri sehingga pilihan raya umum akan datang, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lajim Ukin.

Lajim yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kemelut politik yang menyelubungi bekas timbalan presiden Parti Maju Sabah (SAPP) itu seharusnya dilihat daripada sudut pandangan yang jauh dan positif memandangkan Tan "tidak sengaja berada dalam keadaan yang terumbang ambing".

"Sebagai pengasas parti SAPP, Tan sanggup berkorban untuk meninggalkan SAPP dan memilih BN bagi meneruskan perjuangannya.

"Jelas sekali, beliau (Tan) begitu setia kepada BN. Oleh itu, pucuk pimpinan BN seharusnya memberi pertimbangan yang khusus -- sekurang-kurangnya memberi peluang kepada Tan untuk terus memegang jawatannya (dalam kabinet negeri) sehingga pilihan raya akan datang," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pusat kesihatan An Nur di Riverside Plaza Kingfisher, Likas dekat sini hari ini.

Lajim berkata demikian ketika diminta mengulas seruan pergerakan Pemuda Parti Demokratik Liberal (LDP) sebelum ini yang mahu Tan melepaskan jawatan Timbalan Ketua Menteri.

Beliau berharap Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dapat mempertimbangkan semua aspek termasuk komitmen Tan, yang "membuat pengorbanan" semata-mata mahu bersama-sama dengan pemimpin lain dalam BN untuk memajukan Sabah, sebelum membuat sebarang keputusan.

Minggu lepas, pengerusi Gerakan Tan Sri Dr Koh Ksu Koon mengumumkan bahawa Tan akan menyertai Gerakan, parti politik yang berpangkalan di Semenanjung, setelah tidak mempunyai parti untuk hampir sembilan bulan.

Bekas ketua Pemuda SAPP dan anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Elopura, Au Kam Wah, turut mengambil keputusan sama.

Berikutan itu, Musa berkata kedudukan Tan dalam kabinet Sabah akan diumumkan minggu ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan