Khamis, 7 Mei 2009

K-Bestari Pemangkin Gagasan 1 Malaysia:Lajim



KUALA PENYU: Komuniti Bestari (K-Bestari) mampu bertindak sebagai wadah untuk mengukuhkan perpaduan antara masyarakat berbilang kaum di negara ini selaras dengan gagasan Satu Malaysia yang ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak , kata Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin
Beliau berkata, selain menyampaikan maklumat tepat mengenai dasar kerajaan dan perkara berkaitan, K-Bestari juga mampu mengeratkan hubungan antara penduduk pelbagai kaum melalui aktiviti yang diatur.
“Kita menekankan perpaduan serta penyertaan semua kaum dalam setiap program yang dianjurkan oleh K-Bestari, yang mana ianya merupakan wadah terbaik untuk menjalinkan hubungan muhibah dan semangat berkerjasama” katanya dalam.buku perutusan Majlis Perasmian Program Bersepada Komuniti Bestari Jabatan Penerangan Sabah yang dijangka beliau resmikan di Kampung Mansud sabtu ini.
Menurut Ahli Parlimen Beaufort ini, tujuan utama penubuhannya adalah untuk menyalurkan maklumat tentang dasar kerajaan kepada rakyat dengan lebih efisien di samping memupuk perpaduan kaum menerusi pelbagai aktiviti yang dijalankan.
Sehubungan dengan itu beliau menasihatkan orang ramai terutamanya di luar bandar supaya tidak mudah termakan oleh fitnah serta khabar angin yang disebarkan oleh golongan tertentu yang berkepentingan, sebaliknya menjadikan K-Bestari sebagai saluran untuk maklumat yang tepat.
“ Amat penting setiap Komuniti Bestari (K-Bestari) di setiap daerah disaran supaya lebih proaktif menerangkan fakta-fakta sebenar di sebalik isu-isu semasa yang berbangkit kepada rakyat di peringkat akar umbi.” Katanya
Beliau berkata untuk menjadi penyampai maklumat yang berkesan, mereka perlu berpengetahuan dan mempunyai maklumat terkini dan relevan.
``Bagi ahli komuniti bestari saya berharap mereka mampu memainkan peranan dan bergerak sebagai penyampai maklumat yang berkesan mengenai dasar-dasar kerajaan dan untuk itu mereka sendiri perlu serius dan berpengetahuan dalam menyebarkan maklumat yang terkini dan relevan,'' katanya : OLEH: JAAFAR ABDUL WAHID

Tiada ulasan:

Catat Ulasan