Selasa, 5 Mei 2009

DEWAN MASYARAKAT BEAUFORT BARU BERNILAI RM 5 JUTA SIAP AKHIR TAHUN INI



BEAUFORT: Dewan Masyarakat Beaufort kedua yang bakal siap menjelang akhir tahun ini mampu menyediakan kemudahan untuk masyarakat di daerah ini mengadakan pelbagai kegiatan kemasyarakatan.

Dewan bernilai kira-kira RM5 juta itu bakal memudahkan orang ramai menghadiri pelbagai program berkaitan politik, agama dan sosial serta ekonomi, sekali gus memperkukuh program penyampaian dasar kerajaan kepada rakyat.

Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Lajim Ukin, berkata dewan bersebelahan Pejabat Pentadbiran Persekutuan itu bukan setakat mampu dimanfaatkan penduduk di pekan ini, malah Kuala Penyu dan Menumbok untuk menganjurkan pelbagai program berkaitan.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, berkata pembinaan dewan itu dimulakan pada awal 2007 dan kerja pembinaan sudah mencapai 70 peratus sekarang,

"Kenaikan harga bahan binaan pada 2007 menyebabkan projek ini lewat disiapkan. Kontraktor sudah memohon Penambahan Masa Pembinaan (AOT) daripada kerajaan kerana lewat menyiapkan kerja," katanya ketika melawat projek itu, di sini semalam.

Sehubungan itu, katanya, kementerian berkenaan akan meneliti kerugian dialami kontraktor terbabit bagi menentukan sama ada hukuman denda boleh dikenakan terhadapnya.
Ini kerana, katanya, melalui pekeliling 2008, kontraktor yang terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan pada 2007 boleh dipertimbangkan untuk mendapatkan bantuan bagi menampung peningkatan kos, katanya.

Bagaimanapun, katanya, kementerian itu tidak mahu kontraktor sentiasa menjadikan kenaikan kos bahan binaan sebagai alasan untuk melengah-lengahkan kerja menyiapkan projek berkenaan atau bangunan lain.

Ini kerana, katanya, setiap projek dirancang kerajaan harus disiapkan mengikut jadual bagi memastikan ia bukan setakat tidak merugikan, malah memberi perkhidmatan secara cekap kepada anggota masyarakat.

Katanya, kementerian tidak akan teragak-agak menyenaraihitamkan kontraktor yang gagal menyiapkan projek dengan alasan yang tidak logik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan