Sabtu, 4 April 2009

PERSELISIHAN FAHAM LEMAHKAN UMAT ISLAM TYDP USIA







BEAUFORT: Perselisihan faham antara umat Islam akan menyebabkan mereka lemah, dipandang hina dan tidak dihormati.

Timbalan Yang Dipertua pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin berkata, adalah lebih malang apabila umat Islam dilabelkan sebagai pengganas dan pencetus huru-hara.

"Walhal, kita adalah sebaik-baik umat yang diutuskan Allah dengan Rasul Nabi Muhammad SAW," katanya berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan Kesenian Islam Peringkat Daerah Beaufort di Dewan Masyarakat Pa Musa dekat sini pagi kemarin.

Hadir sama, Wakil Rakyat Kawasan Lumadan Kamarlin Haji Umbi,Pegawai Daerah Beaufort Mohd.Sidek Haji Jubar,Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih serta hampir 1000 orang umat Islam Setempat

Lajim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, umat Islam perlu kembali menghayati perjuangan Rasulullah di mana Baginda mampu menyatukan bangsa Arab daripada pelbagai qabilah selain mendamaikan puak Aus dan Khazraj di bawah satu bumbung.

Selain itu katanya, umat Islam perlu kembali membina kesatuan yang utuh bagi mengangkat kembali martabat mereka melalui peningkatan semangat patriotisme iaitu cintakan tanah air dan agama.
Pembinaan semangat itu katanya, perlu dipupuk di peringkat kanak-kanak lagi supaya mereka mempunyai jati diri yang unggul.

Dalam hal ini katanya, langkah memperkasakan pemikiran umat Islam perlu dijana secara sistematik agar generasi baru yang dilahirkan kelak memiliki minda yang kritis, ikhlas, jujur dan istiqamah.

''Pada zaman yang semakin mencabar ini, negara memerlukan generasi baru berkualiti terdiri daripada kelompok yang berilmu dengan menguasai pelbagai disiplin dan sentiasa bersyukur.

''Ini kerana, matlamat kita ialah untuk melahirkan umat Islam yang berjiwa besar, berilmu, bersemangat kental dan bertaraf dunia yang mampu menggerunkan musuh-musuh Islam.

''Untuk itu, kita memerlukan individu dan anggota masyarakat yang berupaya menangani zaman yang sentiasa berubah, kerana hanya generasi yang berkualiti akan dapat melaksanakan agenda besar untuk membina kemajuan, peradaban dan ketamadunan,'' ujarnya. OLEH: JAAFAR ABDUL WAHID

Tiada ulasan:

Catat Ulasan