Jumaat, 10 April 2009

Perlantikan Lajim Sebagai Timbalan Menteri Perumahan & Kerajaan Tempatan Dialu-alukan



LOKMAN SUNGGIM...Lajim mampu laksanakan tugas berdasarkan pengalaman

KOTA KINABALU: Pelbagai pihak yakin Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin yang dilantik ke jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mampu memikul serta melaksanakan tugas tersebut sebaik mungkin berdasarkan pengalaman yang sediaada pada beliau.

Timbalan Ketua UPKO bahagian Kuala Penyu Lokman Sunggim berkata, sebagai seorang pemimpin politik yang pernah menjawat pelbagai jawatan di dalam pelbagai kementerian termasuklah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sabah akan memudahkan beliau (Lajim) melaksanakan tugas yang telah diamanahkan.

“ Kita yakin kepada kebolehan dan kemampuan beliau melaksanakan tugas baru ini, berdasarkan kepada pengalaman yang sediaada disamping dikenali sebagai pemimpin mesra rakyat sudah tentu perinsip rakyat didahulukan prestasi diutamakan dapat direalisasikan” katanya.

Lokman yang juga Ahli Majlis Daerah Kuala Penyu berkata demikian ketika diminta mengulas isu perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam Kabinet Baru Perdana Menteri Datuk Seri najib Tun Razak .

Mengulas secara keseluruhan wakil dari negeri ini dalam kabinet baru dibawah kepimpinan Najib sebagai Perdana Menteri Lokman berkata, ianya merupakan penghargaan dan ganjaran kepada rakyat di negeri ini yang telah memberikan sokongan padu kepada kerajaan Barisan Nasional sebelum ini.

“ Dengan jumlah Menteri dan Timbalan Menteri yang mewakili Sabah ,rakyat mengharapkan mereka mampu memainkan peranan penting dalam menjana kemajuan negeri ini yang masih jauh ketinggalan dalam pelbagai aspek pembangunan” katanya.

Turut mengulas perlantikan Lajim sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan ialah Ahli Jawatankuasa Umno bahagian Beaufort Ahmad Said dimana menurut beliau rakyat khususnya ahli-ahli Umno di bahagian itu turut berterima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kerana melantik ketua bahagian mereka menduduki barisan kabinet kali ini.

“ Dalam melaksanakan prinsip rakyat didahulukan kemajuan diutamakan, kita yakin ciri-ciri ini ada pada kepimpinan beliau (Lajim) selama ini dan ini mampu membawa perubahan bagi merealisasikan harapan rakyat secara keseluruhannya” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan