Ahad, 5 April 2009

CONTOHI KEPERIBADIAN RASULLAH SAW






KUALA PENYU: Umat Islam sewajarnya mencontohi kemuliaan sifat dan keperibadian Nabi Muhammad S.A.W yang diutuskan oleh Allah S.W.T untuk memberi rahmat ke seluruh alam sehingga membina satu tamadun yang agung kata Ahli Parlimen Beaufort Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin

Beliau berkata, Nabi Muhammad melaksanakan dan memenuhi amanah serta tanggungjawabnya menerusi akhlak yang terpuji yang bukan sahaja diperlihatkan di kalangan anggota keluarganya, sahabat dan pengikut malah ketika menghadapi kumpulan yang menentangnya.

"Baginda mencerminkan sifat-sifat sabar dan mulia, menggunakan kalam-kalam hikmah yang terpuji sepanjang masa. Baginda memohon doa kesejahteraan untuk ummahnya dan memohon Allah membuka pintu kesedaran dan keinsafan kepada kumpulan memusuhi baginda.

"Baginda tidak mencerca, tidak juga menghina insan lain meskipun mereka tidak bersetuju dengan baginda," katanya ketika berucap merasmikan sambutan Maulidur Rasul dan Fastivel Kesenian Islam Peringkat Daerah Kuala Penyu di Dewan Masyarakat Dato Shah Bandar Makang dekat sini pada sabtu lepas.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Penyu John Teo Mau Sing, Penolong Pegawai Daerah Kuala Penyu Abdul Rahim Yakub dan Timbalan Ketua Umno bahagian Beaufort Isnin Haji Aliasnih

Menurut Lajim yang juga Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Islam Sabah (Usia) Nabi Muhammad terus mencari jalan secara berhemah untuk kumpulan yang menentangnya agar dipertemukan dengan kebenaran dan akhirnya memberi sokongan serta bekerjasama dengannya.

Katanya,Nabi Muhammad juga menghargai orang-orang yang berjasa dalam hidupnya yang diperlihatkan melalui layanan kepada anggota keluarganya termasuk di kalangan anggota keluarga yang enggan memeluk Islam.

"Tamadun yang agung itu dibina daripada pancaran sifat yang melihatkan watak dan keperibadian mulia dan berhemah. Sifat dan watak yang membuatkan kawan merasa hormat dan lawan merasa segan," katanya

Selain itu, Lajim berkata, dakwah Islam perlu dilaksanakan sebagai usaha serta tindakan yang berterusan dan sewajarnya berlaku sepanjang hayat bukannya bermusim.

"Dakwah yang berkesan bermula dengan usaha kecil, bermula dengan bercakap benar, bersifat jujur dan melakukan amalan secara ikhlas.

"Dakwah akan subur jika setiap insan tidak mengumpat, tidak melakukan fitnah, tidak berhasad dengki dan tidak bersifat haloba. Dakwah akan dapat dijayakan jika setiap insan menghayati nilai-nilai amanah dan bertanggungjawab yang diamalkan sepenuhnya dalam kehidupan seharian". Katanya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan