Selasa, 19 Mei 2009
Kerajaan akan seragamkan beberapa Akta PBT
BEAUFORT 18 Mei - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan menyeragamkan beberapa akta dan peraturan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang melibatkan perubahan di beberapa buah negeri di negara ini.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Lajim Ukin (gambar) berkata, penyeragaman tersebut perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan pelaksanaan peraturan berkenaan.
''Sebagai contoh, akta hiburan di Sabah berbeza kerana ada pusat hiburan yang dibuka sehingga pukul 1 pagi sementara beberapa buah negeri di Semenanjung dibuka sehingga pukul 2 dan 3 pagi.
''Usaha itu juga perlu supaya hasrat kerajaan merealisasikan konsep Satu Malaysia dapat dicapai dengan jayanya,'' katanya pada sidang akhbar selepas majlis perasmian persidangan tahunan Cawangan-Cawangan UMNO DUN Kuala Penyu di sini semalam.
Menurut Lajim, keputusan penyeragaman itu akan mengambil kira beberapa faktor seperti politik, sosial dan alam sekitar.
Tambahnya, kementerian juga akan mendapatkan maklum balas daripada masyarakat agar penyeragaman itu membawa kebaikan kepada masyarakat setempat.
Sementara itu, mengulas mengenai usaha yang sedang giat dilakukan bagi mengatasi masalah setinggan di negeri ini, Lajim memberitahu segala langkah yang dilakukan akan sentiasa mengambil kira kebajikan rakyat.
''Kerajaan akan menyediakan penempatan baru yang lengkap dengan kemudahan asas dan akan memberikan notis tiga hingga enam bulan bagi memudahkan mereka berpindah ke penempatan tersebut sebelum bertindak merobohkan rumah setinggan mereka.
''Selain itu kementerian juga akan berusaha menyalurkan bantuan kepada PBT terutama sekali bagi mengatasi masalah setinggan serta masalah sampah di negeri ini,'' ujarnya
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan