Jumaat, 13 Mac 2009
POLITIK WANG: UMNO BOLEH LENYAP
DR. Mahathir Mohamad, Syed Abdul Jabbar Shahabudin (empat dari kanan) bersama Exco Persatuan Bekas Pelajar Maktab Sultan Abdul Hamid (SAHOCA) di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Mac - Riwayat UMNO akan berakhir sekiranya calon yang diketahui terlibat dengan politik wang menjadi pilihan para perwakilan pada Perhimpunan Agung parti itu hujung bulan ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengingatkan para perwakilan supaya membuat pilihan yang tepat dan mengelak amalan politik wang yang merupakan bencana besar pada UMNO, Barisan Nasional (BN) dan negara.
''Masih banyak cakap-cakap mengenai politik wang. Memang ia tidak boleh dibuktikan tetapi semua tahu siapa yang terlibat. Cuma tidak mudah nak suruh orang tampil beri keterangan, namun mereka akan bercerita.
''Maka kalau mereka pilih juga orang yang terlibat dalam politik wang, maka itu adalah pengakhiran kepada UMNO dan BN juga,'' katanya pada sidang akhbar bagi mengumumkan perasmian bangunan Bekas Pelajar Kolej Sultan Abdul Hamid (Sahoca) di pejabatnya di sini hari ini.
Dr. Mahathir yang juga bekas Presiden UMNO berkata, rakyat memerhati setiap perkembangan yang berlaku dan apabila tibanya pilihan raya umum kelak, mereka tidak akan segan silu untuk menyatakan pendirian seperti pada Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu.
"Rakyat akan kata awak boleh kuasai UMNO dan seluruh ahli UMNO tetapi tidak bagi kami. Awak boleh sogok orang UMNO, bagi jawatan, bagi duit dan sebagainya tetapi tidak bagi rakyat.
"Rakyat ada satu undi dan tahu apa dia nak buat dengan undi dia," jelasnya.
Sementara itu, ditanya mengenai spekulasi yang mengatakan beliau akan terus menangguhkan hasrat untuk kembali menyertai UMNO sekiranya pemimpin yang terlibat politik wang dipilih kelak, Dr. Mahathir berkata, beliau akan tunggu dan lihat.
"Syarat pertama saya kalau Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) tidak menjadi Presiden. Selagi menjadi Presiden, saya tak baliklah,'' ujarnya.
Mengenai kedudukan jawatan Perdana Menteri selepas berakhirnya pemilihan parti 28 Mac ini, Dr. Mahathir berkata, tiada peruntukan Perlembagaan yang menyatakan Presiden UMNO mesti menjadi Perdana Menteri.
Katanya, perkara itu hanyalah menjadi amalan dalam UMNO dan sebab itu jika Abdullah masih mahu terus sebagai Perdana Menteri maka Datuk Seri Najib Tun Razak hanya akan menjadi Presiden UMNO.
''Masa saya dulu macam itu juga, saya menjadi Presiden tetapi Datuk Hussein (Tun Hussein Onn) tidak letak jawatan (Perdana Menteri) lagi sehinggalah kira-kira dua minggu selepas itu.
''Ini amalan, lepas ini kalau dua minggu, 10 minggu, itu saya tak tahulah. Cuma rakyat akan perhati,'' jelasnya.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan