Jumaat, 13 Mac 2009
PM PUAS HATI KEMAJUAN PROJEK AGROPOLITAN
TIBA… Abdullah bersama isteri Datuk Seri Jeanne Abdullah sambil diiringi oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu untuk lawatan singkat.
PULAU BANGGI: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berpuas hati dengan perkembangan program-program projek agropolitan di sini yang beliau lancarkan pada Ogos 2007 meskipun terdapat kekurangan air di beberapa tempat tertentu.
Katanya antara tanaman komersil yang dikenal pasti sesuai di situ ialah getah.
Abdullah berkata Felcra sedang menimbang cadangan menggabungkan bekalan elektrik solar dengan turbin angin.
Perdana Menteri, yang diiringi isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah serta Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Yahya Hussin tiba dari Kota Kinabalu pada 11.15 pagi.
Beliau diberi taklimat mengenai perkembangan projek agropolitan itu oleh Ketua Eksekutif Felcra Bhd Datuk Mohd Nasir Baba.
Perdana Menteri kemudian menghadiri jamuan tengah hari bersama penduduk Pulau Banggi sebelum bertolak ke Kota Kinabalu.
Sementara itu Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib berkata projek itu berjaya membawa ramai penduduk pulau tersebut yang telah berhijrah untuk kembali bekerja di tempat asal mereka.
Katanya sehingga kini, 29 orang penduduk tempatan telah dilantik sebagai kakitangan pentadbiran Felcra dan 287 orang sebagai pekerja ladang.
“Senario ini telah menunjukkan perkembangan yang baik kerana penduduk-penduduk Pulau Banggi yang dahulunya berhijrah ke luar telah kembali untuk memenuhi keperluan tenaga kerja di sini.
“Kebanyakan mereka yang diambil bekerja sebelum ini berpendapatan purata kurang daripada RM300 sebulan, malah ada di antara mereka yang langsung tidak mempunyai pendapatan,” katanya dalam kenyataan semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ke pulau tersebut kelmarin.KEMAJU.
Pulau Banggi merupakan projek agropolitan pertama dilancarkan di negara ini, satu usaha kerajaan untuk mensifarkan golongan miskin pada tahun depan.
Felcra Bhd diberi tanggungjawab sebagai ejen pelaksana projek mega kerajaan ini, di mana kerajaan telah memperuntukkan RM167.36 juta dalam bajet Rancangan Malaysia ke-Sembilan (RMK-9) dan ditambah kepada RM172.42 juta semasa kajian separuh penggal rancangan ini.
Dalam perkembangan lain, Muhammad berkata sebanyak 100 unit rumah moden di bawah Program Pembangunan Masyarakat Setempat (PPMS) fasa pertama dijangka diduduki oleh peserta pada akhir bulan depan.
Rumah-rumah berkenaan adalah sebahagian daripada 17,000 unit rumah baru untuk keluarga miskin tegar termasuklah pembinaan rumah panjang yang akan dibina di seluruh negara di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) yang membabitkan kos RM500 juta.
Ketua eksekutif Felcra Bhd Datuk Mohd Nasir Baba menambah sebanyak RM10.36 juta diperuntukkan di bawah komponen PPMS di mana ia dibahagikan kepada tiga fasa.
Katanya tapak pembinaan rumah itu kini sedang dibersihkan bagi memulakan kerja-kerja binaan bagi fasa kedua dan dijangka dapat menyiapkan 100 lagi unit menjelang akhir tahun ini.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan