Khamis, 26 Februari 2009

Pemimpin Bahagian Perlu Aktif




KOTA KINABALU:Pemimpin yang diberikan kepercayaan oleh para perwakilan bagi menduduki barisan kepimpinan UMNO Bahagian pada persidangan bahagian baru-baru ini, perlu bergerak aktif memperkukuhkan parti.
Ketuanya, Datuk Lajim Ukin berkata, pemimpin yang terpilih bagi menerajui parti perlu mengenepikan sentimen pemilihan dan berusaha merapatkan hubungan antara semua ahli.
"Proses pemilihan telah berlalu, kita perlu menghormati keputusan ahli yang telah memilih kita, tanggungjawab kita seterusnya adalah memperkukuhkan kekuatan parti bagi menghadapi cabaran akan datang.
"Kita perlu membentuk satu pasukan yang sentiasa mengamalkan budaya kerja berpasukan dengan semangat parti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan mesyuarat pertama ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Beaufort di sini, semalam.
Pada mesyuarat itu, Lajim yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan turut mengemukakan pelantikan semula Nafsin Aliamat sebagai Setiausaha UMNO Bahagian Beaufort manakala Zahari Zinin dilantik bendahari.
Menurut Lajim, dengan mengamalkan budaya kerja berpasukan, ia bukan sahaja memberi kesan positif kepada usaha memperkukuhkan parti tetapi dapat memberi manfaat kepada semua ahli.
"Tidak timbul soal kumpulan tertentu dalam kepimpinan UMNO bahagian ini. Semua pihak perlu bersatu bekerjasama kerana yang lebih utama bukan individu namun kepentingan parti perlu diutamakan," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, bagi memberikan keberkesanan terhadap kualiti sistem penyampaian kepada ahli di peringkat akar umbi, bahagiannya telah membentuk beberapa biro bagi melaksanakan pelbagai program yang dirancang.
"Melalui biro-biro yang diwujudkan ini, kita berharap sepanjang tahun jadual program akan dapat digerakkan sepenuhnya sekali gus mengelak persepsi bahawa parti hanya berfungsi menjelang pemilihan atau pun pilihan raya,'' ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan