Rabu, 15 April 2009
MEMAHAMI BANJIR DI BEAUFORT (Ertikal di Petik dari Utusan Malaysia)
Oleh HAMDEN RAMLI
utusansabah@utusan.com.my
PEMANDANGAN dari udara keadaan Pekan Beaufort yang dilanda banjir akibat hujan lebat dan limpahan Sungai Padas baru-baru ini. - BERNAMA/GHAZALI
KOTA KINABALU 14 April - Masalah banjir di Beaufort bukan baru. Hampir setiap tahun wilayah di selatan pantai barat Sabah itu pasti dilanda musibah alam berkenaan. Paling tidak, sekali dalam setahun.
Apa yang pelik, banjir di situ tidak mengira musim, baik musim tengkujuh mahupun ketika cuaca elok sepanjang tahun.
Keadaan itu amat menyukarkan kehidupan penduduk. Selain kerosakan harta benda, penduduk daerah itu yang kebanyakannya petani turut kehilangan hasil tanaman masing-masing.
Setiap kali hujan lebat yang berlarutan untuk tempoh lama, perasaan bimbang segera menyelubungi penduduk daerah itu khususnya mereka yang tinggal di sepanjang Sungai Padas.
Mereka sedar, banjir tidak lama lagi akan berlaku. Sama ada kali ini lebih besar daripada sebelumnya, hanya dapat diketahui selepas bencana alam itu berlaku.
Mengulas mengenai fenomena itu, Pensyarah Sekolah Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat Universiti Malaysia Sabah, Prof. Madya Dr. Rosalam Sarbatly berkata, sebenarnya banjir adalah lumrah bagi kebanyakan penduduk di daerah itu.
''Bagi penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Padas separti Kampung Bingkul, Limbawang, Bangkalalak, Bintuka, Lajau dan Gadong, limpahan air masuk ke dalam rumah adalah perkara biasa.
''Cuma banjir yang melanda pertengahan Mac lalu, agak berbeza kerana ia turut menenggelamkan jalan-jalan raya sehingga menyebabkan perhubungan dari daerah ini ke daerah lain terputus,'' katanya.
Beliau menambah, banjir bulan lalu menyebabkan jalan pintasan Kelias Baru-Limbawang ditenggelami air seperti sebuah kolam tanpa ikan. Ketiadaan terowong-terowong pintasan air yang mencukupi di jalan raya berkenaan memburukkan lagi keadaan.
''Limpahan air daripada Sungai Padas yang bermuara di Pekan Weston kali ini bukan saja menyebabkan banjir di kawasan tebing sungai berdekatan malah telah menenggelami kawasan 20 sehingga 30 kilometer (km) radius,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Rosalam yang berasal dari Beaufort menambah, satu persoalan besar yang boleh dibangkitkan daripada peristiwa itu ialah bagaimana kampung yang terletak berhampiran dengan Sungai Kota Kelias, yang bermuara di Kuala Penyu dilanda banjir walaupun aras air di sungai berkenaan masih di peringkat selamat.
Katanya, untuk memahami fenomena itu serta mengemukakan cadangan mengatasinya, perkara pokok yang perlu diketahui adalah memahami bagaimana banjir boleh terjadi?
Menurut beliau, di bahagian hulu Sungai Padas, terdapat empangan hidro elektrik, Empangan Pangi yang membekalkan sebahagian besar tenaga elektrik sekitar Kota Kinabalu, Keningau, Tenom, Beaufort dan Wilayah Persekutuan Labuan.
''Secara lazimnya, empangan akan menggalas tekanan takungan air sepanjang masa. Pada musim hujan lebat yang berterusan khususnya di sekitar Tenom, aras takungan meningkat melepasi aras selamat.
''Bagi mengelak tekanan berlebihan ke atas empangan yang boleh menyebabkan empangan pecah serta limpahan air di hulu yang menyebabkan banjir berterusan, aras air perlu disalurkan secara terkawal dengan membuka aliran pintas.
''Limpahan air ini perlu mampu ditampung oleh bahagian hilir Sungai Padas untuk mengelak banjir berlaku di daerah Beaufort. Bagaimanapun, jika hujan lebat berterusan, jumlah air dilepaskan akan meningkat menyebabkan kegagalan bahagian hiliran sungai menampung jumlah air yang banyak,'' katanya.
Jelas Rosalam, pekan Beaufort dan kawasan di sekitar tebing hiliran Sungai Padas akan dinaiki air walaupun tidak dilanda hujan dan banjir sebegini dinamakan sebagai banjir limpah.
Menurut beliau, apabila Tenom dan Beaufort ditimpa hujan lebat berterusan serentak seperti pertengahan bulan lalu, jumlah limpahan air akan bertambah.
Tambahnya, fenomena itu akan menyebabkan limpahan air Sungai Padas akan mengalir lebih jauh menyusuri anak sungai, parit di sepanjang jalan raya dan ladang kelapa sawit seterusnya masuk ke sungai kecil seperti Sungai Malabau, Pilajau Lama, Pilajau Baru dan Kelias Kecil.
Beliau memberitahu, sungai-sungai buatan itu seterusnya mengalir merentasi tembok jalan Beaufort-Kota Kelias dan terowong konkrit yang dilengkapi pintu kawalan pasang surut di Kampung Malabau, Pilajau Lama dan Pilajau Baru serta sebuah jambatan di Kampung Kelias Kecil, sebelum masuk ke Sungai Kota Kelias.
''Limpahan air Sungai Padas, parit-parit monsun serta tiga terowong utama itu menyebabkan Sungai Kelias Kecil gagal menampung jumlah aliran air yang banyak menyebabkan kawasan sekitarnya mengalami limpahan dan seterusnya banjir.
''Banjir akan menjadi lebih buruk sekiranya aliran air keluar bertembung dengan air pasang besar yang boleh menyebabkan kegagalan Sungai Kota Kelias menampung jumlah air yang banyak,'' ujarnya.
Kata beliau, kejadian sebegini akan menyebabkan banjir besar seperti mana pernah melanda Beaufort pada tahun 1981 dan 1996.
Berbanding banjir besar pada tahun 1981 dan 1996, banjir yang kerap melanda Beaufort termasuk pada pertengahan Mac lalu berlaku ketika kedudukan aras air Sungai Kota Kelias pada tahap berjaga-jaga tetapi selamat.
''Oleh itu, sekiranya sistem tebatan banjir dilakukan dengan baik, banjir yang melanda kampung-kampung berhampiran Sungai Kota Kelias misalnya Kampung Takuli, Malabau, Rancangan Kelias, Pilajau, Kelias Kecil dan Laba boleh dielak. Jalan pintasan menghubungkan Kelias Baru-Limbawang juga tidak akan terputus,'' katanya.
Menurut Rosalam, sistem tebatan yang dimaksudkan termasuk membina terowong pintasan merentasi jalan raya yang mencukupi serta sungai-sungai kecil dan parit-parit di sekitar kawasan tersebut mesti sentiasa dibersihkan bagi memastikan aliran air tidak tersekat.
Bagaimanapun, jelasnya, topografi Beaufort yang rendah, rata dan berada hampir sama dengan aras laut semasa pasang besar juga perlu difahami sebagai salah satu penyebab banjir di daerah berkenaan.
Hakikatnya, ujar beliau, tebatan banjir hanya boleh membantu sebahagian daripada usaha untuk mengatasi masalah banjir di kawasan berkenaan.
''Memandangkan pasang-surut merupakan fenomena alam, kaedah terbaik mengurangkan ancaman banjir adalah dengan membuat lebih banyak sungai pintasan bagi mempercepatkan aliran keluar air ke muara sungai.
''Aktiviti penebangan hutan mesti dikurangkan agar dapat menakung sebahagian air hujan yang banyak turun di kawasan berkenaan. Usaha membersih sistem perparitan dan sungai-sungai mesti dilakukan secara berterusan,'' jelas beliau.
Rosalam berkata, walaupun banjir telah menyebabkan banyak kerugian tetapi pada masa sama bencana alam itu telah menjadikan tanah-tanah di kawasan itu subur dan sesuai untuk aktiviti pertanian.
Malah, katanya, melihat kepada bentuk muka bumi yang sering dinaiki air, sesetengah kawasan di Beaufort mungkin berpotensi menjadi lokasi takungan gas asli yang besar.
Sehubungan itu, beliau berkata, selain mengatasi masalah banjir, sebenarnya ada pelbagai kemungkinan dan potensi boleh diteroka di sebalik musibah yang melanda daerah itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan